Subscribe

RSS Feed (xml)



Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Tuesday, September 2, 2008

CABARAN PELAKSANAAN UNDANG-UNDANG ISLAM DI PERINGKAT PERSEKUTUAN

Selepas Merdeka, usaha-usaha di peringkat Persekutuan telah dibuat untuk menyeragamkan pentadbiran undang-undang Islam. Penubuhan Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Islam Malaysia (MKHEIM) yang dipersetujui oleh Majlis Raja-raja Melayu (MRR) dan urusetianya ialah Bahagian Ugama di Jabatan Perdana Menteri yang kini dikenali sebagai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Antara fungsi Majlis ini ialah “memberi nasihat kepada Majlis Raja-raja, kerajaan-kerajaan negeri atau Majlis Agama Islam negeri atau apa-apa perkara berkenaan perundangan atau pentadbiran agama Islam dan pelajaran agama Islam dengan tujuan hendak memperbaiki, menyamakan atau menggalak persamaan undang-undang atau pentadbiran.”(31) Untuk tujuan itu, beberapa jawatankuasa telah ditubuhkan di bawah urusetia dan termasuklah Jawatkuasa Teknikal Undang-undang Syarak dan Sivil, Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dan lain-lain. Sejauh penelitian, penubuhan MKHEIM dan JAKIM adalah selaras dengan kehendak peruntukan Perlembagaan Persekutuan Perkara 38 (2) (b) (c) yang menjelaskan tugas-tugas MRR antara lain ialah “mempersetujui atau tidak mempersetujui supaya apa-apa perbuatan, amalan atau upacara agama meliputi seluruh Persekutuan” dan “mempersetujui atau tidak mempersetujui apa-apa undang-undang dan membuat dan memberi nasihat mengenai apa-apa perlantikan yang menurut Perlembagaan ini, memerlukan persetujuan MRR atau yang dikehendaki dibuat oleh atau selepas berunding dengan MRR”

Walau bagaimanapun, sebagaimana dijelaskan bahawa kuasa untuk menggubal undang-undang Islam adalah di bawah kuasa kerajaan-kerajaan negeri termasuk juga di Wilayah-wilayah Persekutuan, maka usaha-usaha penyeragaman di peringkat kebangsaan adalah bergantung kepada kuasa budi bicara kerajaan-kerajaan negeri. Pihak yang bertindak sebagai urusetia sebenarnya tidak mempunyai kuasa eksekutif untuk menentukan kerajaan-kerajaan negeri mengikuti model atau syor penyeragaman yang telah disediakan itu. Sebaliknya kerajaan-kerajaan negeri walaupun sedia menerimapakai suatu model undang-undang yang sepatutnya diterimapakai, tetapi tiada halangan dari sudut perundangan bagi pihak kerajaan-kerajaan negeri meminda mana-mana peruntukan dalam undang-undang yang disyorkan itu terutama bagi kesesuaian di negeri masing-masing. Sebab itu, sekali lagi mutakhir ini suatu penyelarasan menyeluruh cuba dibuat dengan memperkenalkan undang-undang keluarga yang baru. Di bawah undang-undang yang baru ini, tiada banyak perubahan yang dipinda kecuali yang paling ketara iaitu soal poligami iaitu memberi kuasa kepada mahkamah memanggil wali, isteri yang sedia ada dan lain-lain yang berkenaan hadir di Mahkamah untuk memberi keterangan serta permohonan pihak-pihak untuk membahagikan apa-apa harta atau aset yang dikumpulkan dalam tempoh perkahwinan setelah Mahkamah membenarkan permohonan suami. Sehingga kini, hanya beberapa buah negeri sahaja yang mengemukakan deraf undang-undang berkenaan untuk diluluskan oleh Badan Perundangan Negeri.(32) Sebagaimana dijelaskan, tiada halangan bagi sesetengah negeri membuat pindaan terhadap deraf undang-undang yang kemudiannya diluluskan itu. (33)

No comments: