Al-Quran memberikan asas tentang ilman nafia atau ilmu yang bermanfaat atau sesuatu yang memberi manfaat kepada manusia. Sejarah pertumbuhan ilmu dan tamadun Islam telah menyebabkan ia tidak tertutup untuk memanfaatkan faedah berbanding dari tradisi keilmuan orang lain. Semuanya adalah asas sandaran bahawa di samping pemerkasaan ilmu-ilmu Islam, ilmu yang bermanfaat dari tradisi dan tamadun lain harus dicari selagi ia tidak bercanggah. Lebih-lebih lagi dewasa ini umat Islam menjadi pengguna kepada ilmu-ilmu sains dan teknologi dari Barat dan Timur. Hasil kekuatan sains dan teknologi ini kuasa-kuasa Barat memiliki upaya menakluk dan menjajah dan kuasa-kuasa sedang muncul sebagai negara maju dan bakal menjadi kuasa besar. Penaklukan dan penjajahan kini tidak seperti dulu. Kehebatan teknologi langit terbuka, rangkaian teknologi maklumat dan komunikasi, kesuburan media cetak dan elektronik, rangkaian Internet dan sistem komputer yang canggih telah memberikan bentuk ‘penjajahan’ baru kepada umat Islam. Cabaran untuk mengetahui aspek-aspek teknologi amat dituntut supaya umat Islam tidak selamanya menjadi pengguna kepada keunggulan ilmu dan teknologi Barat umpamanya sehingga Barat dijadikan indikator maju, moden, membangun dan berubah secara mutlak. Mempelajari teknologi atau ilmu alat tidaklah salah. Teknologi dari sudut Islam selamanya alat. Ia bukan matlamat. Matlamat dalam komputer dan Internet umpamanya ialah untuk memperkaya, mempercepat dan mempelbagaikan maklumat supaya pemikiran manusia menjadi lebih luas. Secara mekanistiknya tidaklah salah. Tetapi terdapat sesetengah maklumat, perisian, input dan program dalam komputer dan Internet mengandungi hal-hal yang sifatnya menyalahi. Ia memerlukan daya saring yang tinggi di kalangan pengguna supaya pengguna dapat membezakan yang baik dengan yang buruk dan yang bermanfaat atau sebaliknya. Adalah menjadi cabaran remaja untuk memahami keadaan ini supaya para remaja tidak terjebak dalam perangkap Barat atau yang boleh merosakkan minda remaja. Persoalan maklumat berkait rapat dengan pemikiran. Orientasi maklumat yang datang dari budaya orang lain kadang-kadang membawa orientasi dan nilai yang tidak sama dengan nilai-nilai Islam. Apa yang patut dilakukan oleh remaja ialah memiliki tekad dan azam yang tinggi untuk mempelajari sesuatu yang bermanfaat dari orang lain, tradisi lain malah tamadun lain. Oleh kerana sifat sains dan teknologi berkembang, para remaja harus bersedia untuk menguasai ilmu-ilmu baru supaya umat Islam sentiasa semasa dengan perkembangan zaman. Namun begitu para remaja harus terlebih dahulu menguasai asas-asas ilmu dan pemikiran Islam. Ulama dan ilmuwan Islam di zaman gemilang dulu menguasai ilmu-ilmu mengenai akidah, syariah, ibadah dan akhlak supaya mereka memiliki jati diri sebagai seorang Islam yang berilmu dan menghayati ilmu. Asas-asas ini sangat penting untuk memberikan para remaja kekuatan diri menghadapi maklumat, data dan fakta dari sumber-sumber orang lain atau sumber berbanding. Apabila dewasa kelak, ia akan berkembang kerana sifat ilmu dan maklumat tidaklah statik. Batas fardu ain umpamanya tidak memadai bagi remaja. Ini kerana corak cabaran semasa jauh menuntut supaya penguasaan ilmu alat seperti sains dan teknologi, komputer dan penyelidikan, pengurusan dan perundangan, ekonomi dan kajian ilmu-ilmu kemanusiaan, tamadun dan sistem nilai supaya remaja mempunyai perspektif yang betul dan asas yang jelas mengenai ilmu Islam dan kaitannya dengan ilmu-ilmu yang bermanfaat dari sumber orang lain. Adalah tidak memadai seorang umat Islam yang menguasai ilmu fardu kifayah maka semua yang terlepas dosa. Ia adalah syarat fikah yang minimum.Ilmu dan maklumat bukanlah sesuatu yang sifatnya berkecuali. Tumbuhnya ilmu dan suburnya maklumat adalah dari pengalaman budaya dan sistem nilai yang dimiliki dan diwarisi oleh sesuatu bangsa dan tamadun. Tamadun Barat pada hari ini banyak menumpukan kepada faktor-faktor memajukan benda dan pemikiran berasaskan faham sekular dan liberal. Faham ini amat berbahaya bagi orang-orang Islam kerana ia menolak kepentingan agama dan sistem nilai. Oleh itu para remaja yang memiliki asas ilmu Islam yang baik tidak mempunyai masalah untuk memanfaatkan sumber-sumber dari Barat atau Timur sekiranya para remaja dapat membezakan buruk-baik akan sesuatu dan dapat mengenal sesuatu yang bermanfaat atau sebaliknya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment