Subscribe

RSS Feed (xml)



Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Monday, October 20, 2008

Demokrasi; antara konsep Barat dan Islam

Antara barat dan Islam adalah umpama buku dan ruas yang tidak boleh disatukan. Segala peraturan dan perundangan antara barat dan Islam jelas menunjukkan perbezaan yang ketara. Dari segi amalan politik juga sama iaitu sistem antara kedua-duanya jelas berbeza. Demokrasi liberal barat adalah berlandaskan Falsafah kekuasaan rakyat semata-mata. Apabila dibincangkan mengenai demokrasi satu perkara yang terlintas di hati kita adalah kebebasan. Namun apabila kita merujuk kepada istilah sebenar, demokrasi adalah bermakna pemerintahan rakyat. Ini adalah merujuk kepada kenyataan di bawah:"Istilah sebenar demokrasi berasal daripada dua perkataan Greek: "demos" bermaksud rakyat dan "kratein" bermaksud memerintah. Oleh itu makna demokrasi secara literal ialah pemerintahan rakyat" (Dr. Lukman Thaib, 199:7).Walaupun sistem demokrasi pada zaman Greek adalah terhad kepada kaum lelaki sahaja namun konotasi demokrasi moden lazimnya merujuk kepada semua penduduk di sesebuah negara. Ini menunjukkan bahawa demokrasi mementingkan kedaulatan rakyat. Di dalam sistem ini kuasa mutlak membuat undang-undang dalam menentukan nilai-nilai dan norma-norma amalan terletak di tangan rakyat (Al Maududi 1404:21). Dengan kata lain rakyat berhak menentukan segalanya. Undang-undang yang baik boleh dimansuhkan dan undang-undang yang tidak baik boleh diwujudkan jika ada sokongan daripada rakyat. Sebaliknya Islam sebagai satu agama yang mempunyai prinsip keimanan yang tinggi kepada Tuhan, mengasaskan sesebuah negara itu berdasarkan kekuasaan Allah dan manusia pula ditugaskan sebagai khalifah. Amalan-amalan di dalam demokrasi Islam adalah merujuk kepada Al-Quran dan Sunnah. Bagi demokrasi liberal menurut setengah-setengah sarjana menganggap demokrasi sebagai asas atau dasar manakala sebahagian yang lain pula mendefinisikannya sebagai bentuk atau kaedah. Namun begitu kebanyakan sarjana bersependapat bahawa demokrasi ialah sistem yang berasaskan pihak berasingan yang majoriti, pentadbir menghormati hak minoriti (Dr. Lukman Thaib 1995:8).Apa yang menjadi persoalan di sini adalah sama ada Islam juga mementingkan prinsip kedaultan rakyat dan jika bukan apakah yang menjadi gaya pemikiran politik bagi sesebuah negara Islam. Bagi menjawab persoalan ini eloklah kita merujuk kepada pendapat seorang sarjana Islam iaitu Al-Maududi menguasai prinsip negara Islam:-"Istilah yang lebih tepat mengenai sistem politik Islam ialah negara ketuhanan yang digelar "teokrasi" dalam bahasa Inggeris" (Al Maududi 1404:21).Menurut beliau teokrasi di dalam sesebuah negara Islam bukanlah bermaksud mengaggungkan sesuatu kuasa seperti yang dibuat oleh paderi-paderi di zaman Eropah yang memerintah secara paksa yang lebih mirip kepada kekuasaan syaitan. Menurut Al-Maududi istilah teo-demokrasi adalah lebih tepat bagi sesebuah negara Islam. Ini adalah kerana di dalam sesebuah negara demokrasi Islam, rakyat akan memerintah berlandaskan had-had yang ditentukan oleh Al-Quran dan Sunnah Rasulullah S.A.W.Al-Maududi juga telah mengariskan tiga prinsip utama dalam sesebuah negara Islam iaitu:-(1) Tidak ada orang, golongan atau kumpulan bahawa seluruh penduduk yang menangi dalam sesebuah negara sekalipun, boleh mendakwa mempunyai kekuasaan dan kedaulatan. Hanya Allah pemilik kekuasaan dan kedaulatan yang sebenar: semua yang lain adalah hambanya.(2) Allah ialah pengubal undang-undang yang sebenar dan kuasa mutlak membuat undang-undang adalah miliknya. Orang-orang Islam tidak boleh membuat undang-undang yang bertentangan dan tidak boleh mengubah suai sebarang undang-undang yang ditetapkan oleh Allah, walaupun semua orang bersetuju mahu membuat undang-undang lain atau mengubah undang-undang Allah, dan(3) Sesebuah negara Islam mestilah diasaskan di atas hukum yang diwahyukan tuhan dalam segala sesi dan ruang lingkupnya. Kerajaan yang memerintah sesebuah negara Islam hanya boleh ditaati dalam tugasnya sebagai badan politik yang dibentuk untuk melaksanakan undang-undang Allah, sekiranya ia melanggar undang-undang yang diturunkan oleh Allah, perintahnya tidak wajib di taati oleh orang-orang Islam (Al-Maududi 1404:20).Kesemua prinsip undang-undang di atas jelas menunjukkan bahawa rakyat dalam sesebuah negara Islam hanyalah pelaksana hukum-hukum yang telah ditentukan oleh Allah. Rakyat tidak ada alasan bagi tidak melaksanakan sesuatu hukum Allah dan tidak ada alasan bagi memansuhkan hukum Allah. Ini adalah berbeza dengan demokrasi barat yang berlandaskan kekuasaan dan kedaulatan rakyat.

No comments: